Saturday, December 30, 2006

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDHIL ADHA

AIDILADHA dikenali juga sebagai Hari Raya Korban dan ia adalah satu daripada hari kebesaran Islam yang diraikan pada setiap 10 Zulhijah mengikut takwim Hijrah.


Ia dinamakan Aidiladha kerana pada saat itu jutaan umat Islam datang dari seluruh pelusuk dunia dan berkumpul di Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah haji bagi menyempurnakan Rukun Islam kelima dan sebagai menyahut seruan Allah.

Ibadat korban sentiasa dilaksanakan setiap Muslim bersempena selesainya ibadah haji dan juga berlangsungnya Aidiladha. Sebaik saja selesai solat Aidiladha, umat Islam akan bersegera melangsungkan ibadat korban dengan menyembelih binatang ternakan seperti lembu dan kambing, kemudian dagingnya akan diagihkan kepada sanak saudara, jiran tetangga dan golongan fakir.



Allah berfirman bermaksud: "Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah" (Surah al-Baqarah ayat 196). Pada hari ini, umat Islam disunatkan melakukan ibadah korban sebagai memperingati peristiwa Nabi Ibrahim mengorbankan anaknya, Nabi Ismail demi kepatuhan dan ketaatan baginda terhadap perintah Allah.

Di samping itu, menerusi peristiwa ini, jelas membayangkan betapa setiap yang hendak dikorbankan itu mesti sesuatu yang bersifat paling disayangi dan berharga.

Ibadah korban juga boleh melatih perasaan individu Muslim agar jangan bersikap bakhil dan kedekut dalam mengeluarkan harta demi membela dan membantu golongan yang lebih memerlukan seperti orang fakir dan miskin.

Dari segi kelebihan yang akan dikurniakan oleh Allah dalam melakukan ibadah korban ialah mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah, dapat menebus dosa iaitu menerusi setiap titisan darah binatang yang dikorbankan dan binatang ini juga bakal menjadi tunggangan di atas titian sirat dan bulu binatang yang dikorbankan itu juga adalah kebajikan.

Sementara kelebihan ibadah korban dari aspek kemasyarakatan dan kemanusiaan pula ialah dapat mewujudkan suasana harmoni, kerjasama dan kasih sayang sesama Muslim, melahirkan sikap penyayang dan memupuk sifat suka berkorban dan bersedekah untuk membantu golongan yang memerlukan.

Seperkara yang patut diberikan perhatian di dalam melakukan ibadah korban ialah supaya ia dibuat di atas dasar keikhlasan hati dan mengharapkan keredaan daripada Allah semata-mata dan bukan sebagai jalan untuk bermegah-megah dan menunjuk dengan kekayaan yang ada.

Sesungguhnya Allah hanya akan menerima amalan seseorang itu mengikut tahap keikhlasan dan juga ketakwaan dan bukan kepada besar atau kecilnya binatang yang dikorbankan itu.

Firman Allah bermaksud: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu" (Surah al-Hajj ayat 37).

Menyedari akan kelebihan ibadah korban itu, maka kita seharusnya berlumba-lumba dan bersegera di dalam melakukannya untuk mendapat keampunan dan keredaan daripada-Nya.

Selain itu umat islam digalakkan
pertingkat amalan pada 10 Zulhijjah
PADA Zulhijjah yang mulia ini, ada satu hari yang dikatakan antara hari yang paling afdal di sisi Allah selain Jumaat iaitu hari ke-9 Zulhijjah yang lebih dikenali hari Arafah. Hari 'Arafah adalah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah adalah satu daripada rukun fardu bagi umat Islam yang menunaikan ibadat haji di Tanah Suci.


Kemuncak daripada itu, hari Arafah adalah satu hari yang Allah akan membebaskan sesiapa yang menghadiri Padang Arafah dan memuliakan hari itu daripada api neraka. Oleh itu, hari keesokannya iaitu Aidiladha adalah hari kesyukuran dan perayaan bagi umat Islam bagi menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran ke hadrat Allah.

Kelebihan Hari Arafah tidak hanya terhad kepada jemaah haji yang berada di Tanah Suci, malah kelebihan itu turut dapat dinikmati oleh umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji di seluruh pelusuk dunia.

Sehubungan itu, umat Islam dianjurkan berpuasa pada 10 Zulhijjah terutama pada Hari Arafah. Tidak diragui lagi bahawa ibadat puasa adalah amalan ibadat yang afdal di sisi Allah berdasarkan sabda Rasulullah yang bermaksud: Berpuasa pada hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan selepasnya. (Hadis riwayat Muslim).

Selain ibadat puasa, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan salih seperti solat sunat tahjud, bersedekah, membaca al-Quran, amar makruf nahi munkar dan sebagainya. Perlu insaf bahawa setiap amalan yang dilakukan pada hari itu akan digandakan ganjaran pahalanya oleh Allah. Begitu juga amalan yang paling afdal di sisi Allah seperti berjihad pada jalan Allah

Jelas daripada maksud hadis Rasulullah bahawa Hari Arafah dan juga hari sebelumnya pada permulaan Zulhijjah adalah antara hari yang afdal untuk beribadat kepada Allah dengan melakukan segala amalan sunat yang dianjurkan di samping setiap detik yang berlalu pada hari itu adalah masa yang amat mustajab doanya dan digandakan ganjaran pahalanya.

Ibnu Abbas pernah menceritakan bahawa Rasulullah bersabda maksudnya: Tiada suatu hari pun amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari itu iaitu 10 hari pertama Zulhijjah.

Sahabat bertanya: Adakah itu termasuk juga berjihad pada jalan Allah? Jawab Rasulullah: Tidak termasuk berjihad pada jalan Allah melainkan orang yang keluar dengan seluruh jiwa raganya dan tidak membawa pulang apa-apa pun. (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda maksudnya: Tiada suatu hari pun dalam setahun yang amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari kesepuluh Zulhijjah. Oleh itu, hendaklah kamu perbanyakkan zikir tahlil, takbir dan tahmid. (Hadis riwayat Ahmad).



Perhimpunan jutaan manusia pada hari Arafah melambangkan perhimpunan besar yang bakal di hadapi oleh setiap manusia untuk dihisab segala amalan diri di Padang Mahsyar kelak. Oleh itu, setiap insan wajib menghisab diri dan juga bertaubat terhadap segala dosa sebelum Allah pamerkan segala dosa itu di hadapan jutaan manusia di Padang Mahsyar itu.

Dari sudut sejarahnya, ada pendapat yang mengatakan bahawa perkataan Arafah itu berasal daripada pertemuan kembali Nabi Allah Adam dan isterinya Siti Hawa diturunkan ke bumi secara berasingan dan akhirnya mereka bertemu kembali di lembah yang dikenali sekarang dengan Padang Arafah. Ada juga ulama yang menyatakan bahawa ia berasal daripada peristiwa pertemuan Nabi Allah Ibrahim dengan isterinya Siti Hajar dan anaknya Nabi Allah Ismail as yang lama berpisah.

Sebahagian ulama pula berpendapat perkataan Arafah itu adalah hasil pemahaman Nabi Ibrahim yang memahami dan menghayati perintah Allah yang tersirat di dalam mimpinya untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail. Oleh itu, hari Wukuf di Arafah juga dikenali sebagai hari Tarwiyah yang bermaksud hari renungan. Hal ini kerana Nabi Ibrahim sentiasa merenung dan mengimbas kembali mimpinya yang berturut-turut dan akhirnya baginda faham (Arafa) maksud mimpi dan terus melaksanakan maksud mimpi itu.

Selanjutnya, perhimpunan secara besar-besaran di Padang Arafah menyaksikan suatu jalinan kemas persaudaraan Islam dan juga kesatuan ummah yang utuh agar mereka bersatu teguh dan bersemangat padu dalam meneruskan kesinambungan Islam untuk bertapak di atas bumi Allah ini, bahkan meneruskan tradisi kecemerlangan Islam yang dirintis oleh generasi Rasulullah dan sahabat serta generasi selepasnya.

Tambahan pula, jalinan yang terbina atas paksi takwa ini dengan pakaian ihram yang sama putih tanpa mengira kedudukan dan pangkat seseorang, umat Islam melupakan segala prejudis perkauman atau kebangsaan, warna kulit, taraf kedudukan, kekeluargaan dan sebagainya. Semuanya ini adalah untuk menyedarkan umat manusia bahawa mereka pada hakikatnya adalah sama rata di sisi Allah yang berasal daripada tanah.

Perhimpunan ini juga diharapkan akan menginsafkan setiap insan yang menghuni bumi Allah bahawa perpaduan yang sebenarnya adalah bertunjangkan takwa dan iman. Ia memantapkan hubungan antara sesama manusia, sekali gus dapat mengikis perasaan prasangka, dendam kesumat, dengki dan lain penyakit hati yang membinasakan ummah.

Setiap Muslim menginsafi bahawa takwa neraca piawaian sebenarnya di sisi Allah, bukannya kekayaan, kedudukan, warna kulit dan sebagainya yang menjadi ukuran kejayaan atau kegagalan seseorang. Dari sini, masing-masing dapat memainkan peranan sewajarnya dalam mengekalkan tali persaudaraan dan bertindak saling kukuh mengukuhkan untuk memartabatkan kembali maruah umat Islam di persada dunia.

Begitulah antara kelebihan terhampar pada 10 Zulhijjah yang sewajarnya direbut setiap Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah.

Rujukan:Berita Harian (30hb Disember 2006)